30 December 2010

BISIKAN TAKDIR

Airin! Aku memanggil nama gadis yang baru sahaja melintasi aku. Dan seperti biasa,dia hanya tunduk dan segera pergi. Aku pula hanya mengikut gerak langkahnya melalui ekor mataku. Aku sendiri tidak faham mengapa aku begitu tertarik terhadap dirinya. Wajahnya biasa-biasa sahaja dan tidaklah terlalu menawan. Mungkin kesederhanaan dan kesopanannya yang sering menggetarkan jiwa lelakiku.

Bayangan gadis bertudung itu terus berlegar-legar di mindaku. Senyumannya sudah cukup membuat aku tidak lena. Sudah beberapa kali aku cuba mendekatinya tapi hampa. Katanya dia mahu tumpukan perhatian kepada pelajaran dahulu dan tidak mahu memberi sebarang komitmen dalam percintaan.

Demimu Airin, seribu tahun pun ku sanggup menunggu. Jam di tanganku menunjukkan tepat pukul 3 petang. Ini bermakna aku hanya 20 minit sahaja lagi untuk ke dewan kuliah. Langkahku kini dipercepatkan. Aku tidak mahu ketinggalan kuliah lagi kali ini.

“Huh, nasib baik sempat.” Aku menghembus nafas lega kerana aku tiba sewaktu kelas baru sahaja bermula. Aku mengambil tempat duduk di bahagian belakang sekali. Tiba-tiba seseorang dalam keadaan kelam kabut masuk dan mengambil tempat bersebelahan denganku.

“Airin.” Manik-manik jernih mula membasahi tubuhku. Entah mengapa aku rasa gelisah seperti ini. Sepanjang kuliah, aku tidak dapat memberi sepenuh perhatian kerana anak mataku begitu galak mencuri pandang wajah ayu Airin.

Kali ini aku nekad. Hati Airin akan aku miliki. Seawal jam 4 petang aku sudah menunggunya di perhentian bas. Biasanya gadis itu akan melewati perhentian ini pada jam 4.30 petang. Apabila waktu itu semakin hampir, aku semakin gelisah. Dan sekarang, Airin telah pun muncul. Belum sempat aku menuju ke arahnya, sebuah kereta BMW berwarna hitam berhenti di hadapannya. Dari jauh, aku dapat melihat kelibat seorang lelaki yang sudah berumur mendekati Airin. Dan satu kucupan singgah di dahi gadis itu. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak di dadaku. Siapa lelaki itu? Aku cuba menajamkan penglihatan mataku dan ternyata lelaki itu adalah….

“Papa!!!” jantungku bagaikan ingin berhenti berdegip. Tidak ku sangka gadis yang puja selama ini yang penuh dengan adab dan sopan rupa-rupanya perempuan simpanan bapaku. Setelah sekian lama, hari ini aku tewas juga dengan perasaanku sendiri. Air mata lelaki mengalir laju di pipiku. Hatiku kini semakin membenih perasaan benci dan dendam terhadap seorang lelaki yang bergelar bapa.

Sejak hari itu, aku sering mengelak dari bertembung dengan Airin. Aku begitu jijik melihatnya yang begitu bijak melindung perangai sebenarnya di sebalik sehelai selendang. Mahu sahaja aku menanggalkan selendang yang melilit di kepalanya itu. Aku benci melihat sifat hipokritnya. Tapi jika aku berbuat demikian, itu bermakna aku telah melanggar norma masyarakat.

Pada suatu petang, aku sendiri tidak menyangka akan bertembung dengan Airin. Aku cuba melarikan diri tapi dengan pantas Airin memaut lenganku. “Dasar perempuan murahan.” Hatiku membara.

“Awak, kenapa awak seperti melarikan diri daripada saya?” oh tidak, suaranya sekali lagi menggetarkan naluri lelakiku. Tapi aku tidak akan tunduk pada betina sepertinya mulai hari ini.

“Lepaskan aku!” getus aku dengan kasar sambil merentap tanganku dari pautannya.

“Awak…” dan sekali lagi.

“Hei, kau ni tak tahu malu ke? Setelah kau dapat bapak aku, takkan kau nak menggatal dengan aku pulak? Kau ingat kau tu cantik sangat ke? Eh, boleh berambuslah…” aku mula melangkah pergi. Dadaku berombak kencang menahan api kemarahan. Puas hati aku kali ni dapat melepaskan segala perasaan yang bersarang.

“Abang Aqif…” kedengaran suaranya menyebut namaku di dalam sendu. Aku berpaling ke arahnya. Masih lagi terpinga-pinga.

“Apa kau panggil aku tadi? Abang? Eh, bila masa pulak aku kahwin dengan kakak kau?”

“Maafkan Airin, selama ini Airin tidak dapat terima abang sebab…sebab…” ayatnya tergantung di situ. Hanya air mata kelihatan begitu galak mengalir di pipi mulusnya.

“Sebab apa?” aku yang tidak dapat menahan sabar terus meninggikan suara.
“Sebab Airin adik abang….”

Ya Allah, tak mungkin Airin adik aku. Setahu aku, seumur hidup ini aku adalah anak tunggal. Papa dan Mama tidak pernah beritahuku bahawa aku memiliki seorang adik perempuan.

“Boleh tak kau jangan buat lawak bodoh petang-petang macam ni?” aku semakin panas dengan ceritanya yang mengarut itu.

“ Tak, Airin tak tipu. Abang Aqif, pandang muka Airin. Please abang….”

Tanpa melakukan apa yang di pinta, aku mula menapak untuk pergi. Aku sudah bosan dengan sandiwara perempuan yang tidak layak di gelar perempuan ini.

“Syaqif Haikal Bin Kamarul Hisyam.”

Aku tersentak. Nama penuhku begitu lancar meniti di bibirnya. Ah, tak mungkin jika gadis ini yang bernama….

“Ya, sayalah Nur Kharina Binti Kamarul Hisyam.”

Bagaikan mengetahui apa yang berlegar di benakku, dia segera menjawab tanpa perlu aku menzahirkan melalui kata-kataku. Kakiku lemah longlai, aku sudah tidak mampu berdiri. Kalau begitu benarlah cerita mama yang papa pernah mempunyai seorang anak dari hasil perkahwinannya keduanya satu ketika dahulu. Tapi mengapa Airin? Kenapa perlu seorang yang aku cintai itu adalah adik kandungku sendiri?? Apakah ini yang dikatakan permainan takdir??

“Maafkan Airin, bang..ma afkan Airin…” untuk apa kemaafan itu Airin? Kita tetap tidak mampu mengubah takdir. Kau tetap adikku dan aku tetap abangmu….

No comments:

Post a Comment